Tuesday, March 1, 2011

warkah terakhir


Adakalanya memori lama bermain di minda, bagai sebuah filem tanpa suara justeru mengembalikan sebuah rasa yang perginya sudah lama.

Dia cuma anak gadis kecil. Cetek ilmunya. Lemah imannya. Dan hatinya laksana kaca. Diperlihat padanya wajah derita. Derita seorang wanita. Derita seorang wanita kuat yang gemalai tangannya pernah suatu ketika dulu membuai si anak gadis kecil tidur. Diperdengarkan padanya jua berita pemergian yang pada suatu masa akan datang, harus dia terima.

Buat pertama kalinya, si anak gadis kecil terasa begitu sendiri, begitu bingung, begitu sunyi...begitu hilang dan terluka. Persis layang-layang terkoyak terputus tali. Tangan yang memimpin selama ini, tak mampu memimpin lagi. Kasih ibu tiada ganti. Segalanya sungguh cepat terjadi. Drastik itu menakutkan.

Si anak gadis kecil cuba mencari bahagia, mahu menghalau duka yang menghimpit dada. Mungkin material bisa mengundang gembira. Tapi tidak, itu hanya sementara. Si anak gadis kecil membutakan mata pada derita, memekakkan telinga pada derita, mengharap derita pergi.

Derita wanita kuat itu umpama parasit, mengikis kudrat wanita kuat sedikit demi sedikit. Pasti itu ujian yang Maha Kuasa padanya, mungkin penghapus dosa, mungkin untuk memberi ganjaran pahala, pasti yang Maha Agung untuk kasih padanya. Tidaklah si gadis kecil terfikir itu, dan si gadis kecil hanyut dengan kemarahan yang datang bertamu. Marahkan apa, wahai si gadis kecil? Si gadis kecil juga tak tahu. Derita barangkali.

Adakalanya, wanita kuat harus meminta bantuan si gadis kecil. Si gadis kecil yang jahil tidak suka. Si gadis kecil yang marah tidak mahu membantu. Harapannya, wanita kuat kan lakukannya sendiri. Harapannya, wanita kan kembali kuat dan terus berdiri seperti suatu masa dahulu yang telah lama berlalu dan tak akan kembali.

Si gadis kecil sedar akan kehilangan yang bakal menanti dan memikirkan hal itu kerap membuatnya kecut hati. Si gadis kecil takut apa yang bakal dilalui. Si gadis kecil tak cukup berani. Dalam hening malam, si gadis menyembunyikan esakan, mengharap esok pagi, bila bangun nanti, diberi kekuatan menjalani hari.

Melihat sahabat handai lain yang senang hati, rasa cemburu berputik di hati. Aku juga ingin seperti itu, bentak hati si gadis kecil. Kemelut ini pastinya berakhir, si gadis kecil mengerti. Namun begitu, akhirnya pasti menyayat hati. Si gadis kecil menangis lagi. Si gadis kecil memujuk hati sendiri. Hati yang rindu kasih yang dahulunya dicurah tak henti-henti.

Perasaan si gadis bercampur baur. Umpama benang pelbagai jenis yang bergumpal dan sukar dilerai.

Saban hari, si gadis kecil menjadi dingin dan keras hati. Tanpa sedarnya, mereka yang lain terasa hati. Wanita kuat, lebih-lebih lagi. Dahulunya, wanita kuat sering menulis buat si gadis kecil, meluahkan sayangnya dalam kata-kata di kad harijadi, memperlihatkan kebanggaannya pada si gadis kecil dengan kad ucapan tahniah, memujuk si gadis kecil yang bersedih dengan surat yang mencuit hati. Dan kali ini, warkah wanita kuat buat si gadis kecil menyatakan perasaannya yang jauh hati. Wanita kuat sedih melihat diri si gadis kecil yang amat disayangi. Wanita kuat sedih si gadis kecil tidak memahami. Wanita kuat sedih dengan apa yang tidak lagi ia mampu beri buat si gadis kecil yang sungguh memerlukan.

Warkah itu si gadis kecil baca bertemankan tangisan. Si gadis kecil tenggelam dalam lautan perasaan yang geloranya hanya Tuhan yang mengerti. Warkah itu akhirnya di humban ke dalam bakul sampah. Rabak. Renyuk. Dan si gadis kecil yang keliru celaru terus begitu.

Dan itulah warkah terakhir. Kerana wanita kuat semakin hari semakin tidak kuat lagi dan tidak lama kemudiannya wanita kuat dijemput Ilahi. Tinggallah si gadis kecil yang tidak berkesempatan memohon sebuah kemaafan. Tinggallah si gadis kecil dengan sebuah penyesalan dan sebuah pengajaran yang disingkapnya perlahan-lahan.

Si gadis kecil berharap segala itu tidak terjadi. Namun, jika begitu, mana mungkin terkisahnya kisah ini sebagai ingatan buat diri dan mungkin buat mereka yang juga begini. Masa yang suntuk biarpun penuh tekanan, tak apa ditangisi tapi redhalah dengan yang terjadi dan dengan memori seindah mungkin masa itu harus diisi supaya jika ianya bermain dalam ingatan suatu hari nanti, diundangnya air mata kerinduan dan bukannya air mata penyesalan. Andai di luar sana ada gadis kecil sedemikian rupa, semoga ada yang menghulurkan tangan memberi bimbingan.

No comments: