Thursday, July 12, 2012

tiga



Kelmarin aku duduk penuh selesa di atas sofa dengan buku di tangan sambil menegangkan leher dan merehatkan kepala dengan mata separa terbuka yang kemudiannya aku tutup sementara. Saat itu, datang angin lembut lagi sedikit dingin melalui kekisi rumah lalu membelai wajah dan meminjamkan seperca ketenangan petang. Perlahan aku mengangkat kelopak mata (slow-mo kononnya) dan lantas ekor mata kiriku terkesan sebuah lembaga berbulu berjalan ke belakang sofa. Lembaga berbulu putih bertompok dan berkaki empat yang bila ia berbunyi, bunyinya pada kebiasaannya dieja seperti ini - meowww (yang bila aku baca, tidak pula bunyi sepertinya. barangkali itu sahaja bahasa manusia yang paling hampir dengan bahasanya). "Hush" kata aku lembut. Terperanjat beliau lalu cepat-cepat membuat pusingan U dan keluar dari rumah. Tidak dapat tidak, aku sentiasa tertarik dengan kecomelan lembaga berbulu berkaki empat itu yang marilah kita gelarkan sebagai Kucing, maka aku mendekatinya. Pada aku, kucing adalah antara makhluk yang boleh menang anugerah skrin dan berdiri sebaris dengan aktor hebat untuk babak air mata kerana lebih biasa dari tidak, kucing berjaya mencairkan hati dengan wajah serta pandangan penuh meminta kasihan seiring dengan ngiauan yang sememangnya penambah perisa yang cukup hebat bagi menaikkan suasana meminta kasihan. Mungkin beliau jujur, mahu meminta.

Hairan aku, masih lagi ada manusia yang sanggup berlaku kejam pada makhluk yang dipanggil 'cat' oleh orang Inggeris. Misalnya, baru-baru ini, ada kucing yang ditemui dengan kaki diikat getah. Oleh kerana darah dan oksigen serta nutrien keperluan tubuh tidak bisa sampai ke kaki, kaki kucing itu mereput mati. Terjingkat-jingkat kucing itu mahu bangun dalam kesakitan. Ah, manusia. Barangkali manusia itu belum pernah dengar cerita perihal seorang wanita yang mengurung kucing tanpa beri makan yang akhirnya mendapat balasan neraka. Oleh kerana aku bergaul dengan kucing sejak usia yang muda, mama awal-awal lagi ceritakan padaku tentang itu, khuatir kalau-kalau aku berbuat aniaya pada kucing belaan aku. Masih, kerana pengetahuan begitu cetek tentang anatomi kucing dan kepentingannya, aku pernah sekali menggunting misai arwah kucingku kemudian dengan bangganya menceritakan pencapaian aku itu kepada mama. Kalau tidak silap, fikir aku ketika itu, misainya panjang, kasihan tidak bisa shave atau trim seperti manusia maka aku mahu membantu. Naif sungguh. Kena marah. Kata mama, tindakan aku itu akan mengganggugugat pengawalan kestabilan kucingku itu.


Sambung cerita. Aku menghulur tangan dengan perlahan. Kucing datang hampir, menyangka aku nak suah (baca: hulur) makanan. Mendapati tangan aku kosong, beliau mengiau dengan melankolia. Ya, aku tak punya apa-apa. Cuma secangkir kasih untuk aku kongsikan. Dengan mekanisma filamen menggelongsor (baca: sliding-filament mechanism), aku memanjangkan sedikit tanganku untuk mencapai kepala beliau untuk aku usap. Babak seterusnya, aku terus mengusapnya penuh mesra. Tanpa sedar, rupanya ada satu lagi makhluk berkaki empat berbulu memandang aku dari balik pagar dawai besi. Beliau berbulu hitam, berkaki empat yang apabila berbunyi, bunyinya pada kebiasannya dieja seperti ini - Woof. Anjing. Garang bunyinya, sering merangsang sistem simpatetik aku. Rupanya, sudah lama beliau memandang ke arah kami berdua yang bermesra. Mata beliau tak berkedip. Dari ekspresi beliau, dapat aku mengesan sejuta kata yang tidak terluah mengenangkan nasib beliau yang hidup penuh kesepian sehingga tuan beliau pulang. Sekalipun tuan pulang, kasih sudah terbahagi dua kerana ada satu lagi makhluk berkaki empat dan berbulu yang sama spesis dengannya diambil jaga oleh tuannya. Lebih sedih lagi, pergerakan beliau pasti akan dimatikan setelah beberapa jarak oleh seutas rantai besi. Pasti beliau juga mendambakan secangkir kasih yang aku kongsikan dengan Kucing yang merdeka itu. Aku merenungnya kembali, setelah beberapa saat, beliau mengalihkan pandangan, persis orang merajuk. Aku kemudiannya teringat akan ikan bawal semalam yang tersisa. Ayah sengaja menyimpannya di dapur, kalau-kalau kucing datang ziarah, bolehlah dibuat pemberian.


Langkah kanan benar Kucing yang memohon simpati itu. Dapat menikmati sisa ikan bawal aku. Maaflah sisa. Kata orang tua-tua, kalau kita makan bekas seseorang, kita akan jadi sayang padanya. Ada juga yang mendakwa kita akan jadi asyik menurut katanya. Kata orang tua-tua lagi, kalau kita makan air tangan seseorang, kita akan jadi sayang padanya. Nah, pada ikan bawal itu, selain hakikat nyata bawah ianya bekas aku, air tangan aku juga ada padanya (bukan kerana aku yang masak, tetapi aku yang mencubit isinya). Pasti sayang benar Kucing pada aku, tidak? Seusai bergembira meratah juadah itu, Kucing berjalan lalu berhenti pada satu kedudukan yang mungkin tanpa sengaja bertentangan dengan tempat Anjing bersemayam. Duduk menghadap anjing, sambil memandang aku kadang-kadang, beliau menjilat bibir kemudian menjilat-jilat jari. Proses menjilatnya terhenti dek salakan anjing dengan ekspresi yang paling sesuai untuk memanifestasikan ketidakpuasan hati. Aku memanggil Anjing dengan nama pemberian tuannya. Bersama panggilan itu, aku hadirkan bersama ekspresi yang meminta ia bersikap baik. Masih matanya terkunci pada pergerakan Kucing, menuruti Kucing yang berjalan kembali untuk menikmati sisa juadah tadi. Dipendekkan cerita, diakhirnya, Anjing cuma berada dalam keadaan begini -

pasrah, barangkali?

Pada perhitungan aku, sudah terjadi sebuah interaksi yang dijayakan dengan bahasa tubuh dan tona suara kerana masing-masing kami, tiga makhluk berbeza, tidak memahami bahasa masing-masing. Perkara itu membuat aku sedar akan betapa hebatnya kesan non-verbal communication. Bicara itu murah. Nah, kalau aku bercakap dengan mereka berdua, sampai ke Subuh hari raya juga mereka tak akan bisa mengerti. Silap haribulan, ayah mungkin berpandangan anak gadisnya ini punya masalah sistem saraf dek berbual dengan dua haiwan berkaki empat ini. Maka terserlahlah tingginya nilai non-verbal communication yang mampu membeli sebuah interaksi tiga makhluk berbeza. Jika dilihat pada kehidupan seharian, cara/gaya/tona suara adakalanya mengizinkan kita meneka perasaan seseorang. That's the power of non-verbal communication. Tengok saja pada kriteria yang dianalisa dalam temuduga, interviewers never really listen to the facts. Meskipun aku bisa mengeluarkan statement itu, tidak berarti aku hebat beraksi dalam temuduga, pada aku, cukup sahaja kalau aku boleh remain natural (seringkali ditelan rasa gementar), I don't want to be accepted for what I'm not.

Merenung kembali tentang non-verbal communication, sepertinya ia bersangkutan dengan akhlak. Pada perhitungan aku, sekalipun satu manusia pandai berbicara manis lalu mengaburi penglihatan sekalian umat manusia, akhlaknya pasti membongkarkan segalanya. Maka pada perhitungan aku, nyatalah bergaya (dari segi akhlak) itu penting sama sekali kerana sekalipun bicara itu biasa-biasa, indah akhlak yang menyusul bersama bisa menyerlahkan keindahan mesej yang cuba disampaikan dan kadangkala indah akhlak itu memampukan bahasa yang indah diucap dalam bicara. Contoh terbaik, tidak dapat tidak, adalah Rasulullah s.a.w.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). [al-Ahzab 33:21]

He (Rasulullah s.a.w.) is the walking al-Quran
(Aisyah r.a.)

Aku sendiri juga tidak tahu banyak cerita, mohon kongsi jika sudi. Salah satu yang pernah aku baca, cerita buah limau yang dihadiahkan oleh seorang perempuan kafir kepada Rasulullah. Rasulullah makan sehingga habis dengan senyuman. Anehnya, baginda tidak mempelawa sahabat yang ada untuk makan bersama. Setelah habis, wanita  itu beransur pergi. Sahabat bertanya, hairan dengan sikap baginda. Rupanya, buah itu masam benar. Baginda khuatir jika yang lain merasa, akan memberi ekspresi yang tidak enak atau memarahi wanita tersebut. Khuatir baginda andai wanita itu akan tersinggung.Ada banyak lagi, tentang bagaimana pemaafnya baginda, bagaimana baginda mengurus situasi dua isteri yang saling mencemburui, bagaimana baginda memanggil para sahabat, bagaimana sikap dengan perempuan kafir buta yang sering menghina baginda dan pelbagai lagi.


Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.
(HR Tirmidzi)


Maka pada perhitungan aku lagi, bukan yang perlu dipelajari itu bercucuk tanam membuat kebun tebu di bibir tetapi sebenarnya menanam bungaan nan wangi dalam hati kerana aku percaya dari situ hadir akhlak yang terpuji.

nak polish akhlak tak sesimple nak polish kasut
nobody promise it'd be easy but insha-Allah it'd be worth it :)
dan sungguh, I have a longgg way to go.....

4 comments:

A.F.A said...

mengganggugugat buat belit lidah

khadijah said...

glad that u still baca meskipun begitu haha

:: ciK TeaChEr :: said...

jd penglipur lara pulak hari ni!

khadijah said...

hehehe... bukan selalu..