Saturday, July 21, 2012

padang bulan

"Kalau aku susah...," katanya dengan sorot mata yang lucu, "cukuplah kutangisi semalam. Semalam suntuk. Esoknya aku tidak mahu lagi menangis. Aku bangun dan tegak kembali!" -Maryamah-

Dwilogi Padang Bulan, khatam sudah. Harus aku kata, gaya penceritaannya, mampu buat aku terketawa sendiri membaca. Lucu tetapi menarik teori Ikal dalam Buku Besar Peminum Kopi. Tambah-tambah lagi teori personaliti berdasarkan takaran kopi, gula dan susu.

Katanya mereka yang menghirup kopi pahit biasanya bernasib sepahit kopinya. Masih, mereka tetap mencuba dan mencipta. Jatuh, bangun, jatuh dan bangun lagi. Dan mereka ini digelar sebagai player. Adapun yang takarannya seimbang adalah safety player. Umumnya mereka ini bekerja rutin dan irama hidup cuma itu-itu sahaja. Lebih biasa dari tidak, mereka enggan mengambil risiko. Semi player pula punya ciri empat sudu kopi dengan gula setengah sudu. Deskripsinya, mereka ini pro dalam bidang masing-masing dan bukan jenis pegang-lepaskan-pegang-lepaskan tetapi pegang-cengkeram-telan. Adakalanya semi player juga merupakan pencinta yang romantis. Sedikit pahit di tenggorokan dan sedikit manis yang terbersit di lidah dek takaran sedemikian rupa, bagi mereka seksi. Kemudian, ada pula ex-player dan penderita sakit gila nombor 29. Haha

Dahulunya, kalau ke McDonalds, aku suka biar kopi/teh aku begitu sahaja, tanpa menambah krimer mahupun gula. Dahulu dahulunya, bukan sekadar kopi, teh juga aku letak kedua krimer dan gula. Dan sampai sekarang, aku suka tambah garam dalam air berkarbonat (kecuali yang berperisa buah-buahan) - kurang gas dan sedap. Tetapi rasanya ianya seolah kombinasi yang agak horror kerana kandungan gula dalam air berkarbonat sudah tinggi, ditambah pula garam seolah memberi kad jemputan kepada bukan sahaja diabetes tetapi sahabatnya hypertension. Horror.

Aku suka Ikal dan caranya yang begitu gila mencintai A Ling. Ada sahaja ideanya untuk menyambut hari lahir A Ling, ada sahaja caranya untuk membuktikan dirinya dan begitu kuat semangatnya meskipun mengalami beberapa kekalahan yang agak memalukan. Begitu tetap hatinya. Sejenak terfikir, kalau saja diri mampu mencintai Maha Pengasih sebegitu rupa, meskipun gagal teruk sekali dalam mencuba, patah dalam istiqamah, hati rasa lelah, biar apa rasanya, biar apa bual bicara manusia. Semoga Tuhan memampukan.

Maryamah pula watak yang benar-benar mengagumkan. Dalam novel kedua dwilogi ini, iaitu Cinta di Dalam Gelas, biar hampir kalah dalam satu pusingan pertandingan catur, dia tetap mencuba dengan segala kekuatan yang ada, sehingga kalahnya juga mampu meraih tepukan para penonton. Tewas dengan cara yang terhormat. Begitu juga nekadnya dalam hidup. Maryamah, perempuan yang meski harus tunduk, dia tak dapat ditakluk. Jiwanya begitu merdeka.

Ada bahagian-bahagian kecil cerita, yang cukup membuat aku tertarik. Antaranya, tentang pertemuan.

Dahulu, guru mengajiku pernah mengajarkan, bahawa pertemuan dengan seseorang mengandung rahsia Tuhan. Maka pertemuan sesungguhnya adalah nasib. Orang tak hanya bertemu begitu saja, pasti ada sesuatu di balik itu.

Begitu banyak hidup orang berubah lantaran sebuah pertemuan. 
Disebabkan hal itu, umat Islam disarankan untuk melihat banyak tempat dan bertemu dengan banyak orang agar nasibnya berubah.

Namun, sayang, tak semua dapat mengungkap rahsia itu, dan beruntunglah sedikit orang yang memahami maksud dari sebuah pertemuan.

 Dan pesan bibi Ikal padanya tentang bicara.

Waspada, bujang. Lidah membuat dosa semudah parang menampas pisang.

Dan seperkara yang membuat aku ketawa kecil membaca.

Menikahi lelaki Melayu seperti membeli kucing dalam karung, boi. Kalau yang kau inginkan memang kucing, dapatlah kau kucing. Bagaimanapun bunyinya bunyi kucing, syukur. Tetapi kalau yang kau harapkan pelanduk, kecewalah engkau.

Dan satu deskripsi penulis tentang bibinya Ikal cukup membuat aku tertarik.

Aku selalu mengagumi baju Muslimah bibi. Sederhana namun menimbulkan perasaan segan. Dengan menikahi paman, wanita itu adalah saudara bagiku. Sejak kecil aku dekat dengannya, namun selembar pun aku tidak pernah melihat rambutnya. Baju itu, jilbab itu, selalu menghembuskan semacam kelu dalam hatiku, betapa aku ini masih seorang Islam yang berantakan.

Ah, betapa aku. Kelu juga aku membacanya.

--------------------------------------------------------------

Kelmarin dahulu aku tonton drama Filipina, Mara Clara. Kata Susan kepada Mara - Ibu cuba melihat kebaikan pada hati setiap orang, namun kehidupan ini bukan begitu.


Kadangkala kita pilih lihat putih.
Sampai akhirnya kita putih mata.

Kemudian hadir titisan air jernih, membias cahaya.
Lalu mengajar kita melihat indah warna pelangi.
Dan kita senyum lagi, harapnya.

No comments: